The Cosmic Wise and Crappy Words

Tuesday, May 22, 2007

when we understand what we said

walaupun tajuk diberi di dalam bahasa Enggeris, saya ingin menulis di dalam bahasa Ibunda saya, iaitu bahasa Melayu. Mereka yang kekal mengikuti perkembangan blog saya, pasti sudah maklum dengan corak penulisan bahasa Melayu saya. Memang saya gemar menulis, biarpun dikatakan seperti "skema" dan kadang kala melucukan hati.

Sebenarnya, saya ingin menulis sesuatu di dalam bahasa Enggeris, kerana, saya dididik untuk berfikir di dalam bahasa Enggeris ketika kecil. Memandangkan saya memulakan persekolahan saya bukan di Malaysia, pemahaman ABC saya agak berlainan, samalah juga corak pemikiran.

Tetapi, apabila memulakan tugas harian di pejabat, saya terlintas satu artikel daripada Bernama mengenai Beijing Foreign Studies University di negara China yang menawarkan satu kursus Pengajian Bahasa Melayu. Ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana sebulan yang lepas, yayasan tempat saya mencari makan, menerima satu kunjungan daripada pelajar Walailak University atau di dalam bahasa Siam - Mahawithayalai Walailak yang terletak di Nakhon si Thammarat, bahagian Timur Selatan Siam. Pelajar-pelajar Siam tersebut sedang menjalani kursus Pengajian Bahasa Melayu di UiTM selama 5 bulan dan ketika penerangan mengenai yayasan yang saya berikan di dalam bahasa Enggeris, mereka agak diam dan terkebil kebil (barangkali kerana penat menangkap sebutan yang agak laju dilemparkan oleh saya ketika ditenggelami oleh perasaan gementar). Namun, ketika kami duduk di meja yang sama, mengenali satu sama lain, kami lebih selesa berbahasa Melayu. Owh, memandangkan pengetahuan saya yang cetek di dalam apa sahaja maklumat berkisar negara Siam, saya memberitahu mereka, yang saya tahu hanyalah kumpulan Same Same (ye, kembar daripada bekas kumpulan Moffats yang sedang menetap di negara Siam tetapi pelajar-pelajar ini semua tidak kenal mereka) dan MTV VJ Utt (owh, yang ini kenal pula mereka). Maka, saya memperkenalkan diri saya sebagai "Kak Nurol" atau panggilan yang lebih mesra, "Mrs. Utt". Mereka tertawa kelucuan.

Sungguh luas penguasaan Bahasa Melayu. Di institusi pengajian tinggi yang terdapat di Malaysia, kita mengambil bahasa ketiga sebagai subjek atau kursus elektif, sesuatu untuk menyempurnakan bilangan jumlah jam kredit, dan sesuatu untuk mengisi kelapangan sementelaah memerah otak menghafal benda benda serius yang lain. Walaupun ada sesetengah pelajar yang mengambil berat kursus tersebut, namun, tiada institusi pun yang ada mengkhususkan satu ijazah atau penngkhususan pembelajaran Mandarin (contohnya Ijazah Sarjana Muda Pengajian Antarabangsa denga pengkhususan Mandarin) atau mungkin bahasa-bahasa lain. Yang ada, barangkali Pengajian Bahasa Arab dan Pengajian bahasa Enggeris sebagai bahasa kedua. Pengajian Bahasa Arab juga dikhususkan untuk mendalami Islam dan al-Qur'an, bukanlah daripada konteks pengajian budaya dan bahasa.

Jika kita lihat sejarah telah membuktikan bahawa Tanah Melayu, pada kurun ke-15, adalah satu pengkalan bagi empayar-empayar terulung di rantau Asia. Penggunaan Bahasa Melayu amatlah meluas, sehingga pedagang-pedagang Cina, Gujerat malah daripada Barat, terpaksa mengolah bahasa mereka untuk diadaptasikan dengan Bahasa Melayu. Sehingga kini, kita boleh membuat kajian dimana, sesetengah bahasa Melayu moden adalah gabungan dan pengolahan yang mempunya elemen bahasa Portugis, bahasa Cina, bahasa Arab, dan sebagainya.

Walaupun saya secara amnya gemar bertutur di dalam bahasa Enggeris, mungkin kerana pembawakan dan persekitaran, namun, saya amat memegang tinggi bahasa Ibunda saya. Oleh sebab itu, amatlah sedih melihat, penulisan-penulisan yang dianggap karya peribadi oleh sesetengah pihak yang dicampur adukkan dengan bahasa percakapan dan bahasa pasar amat meluas sekali. Saya boleh membahasakan diri sebagai "aku" apabila bertutur, tetapi, di dalam penulisan, saya rasa sungguh tercemar. Tidak indah lagi bahasa Melayu yang dipasarkan secara akademik sejagat raya. Mahukah kita melihat penuntut daripada Karachi, yang belajar bahasa Melayu sebagai subjek utama, menulis karang berbunyi "aku bengang la dengan mamat tu"???? Tidak enak bukan? Jadi, sebelum kita lihat bahasa kita tercemar, janganlah kita sendiri mencemarkannya.

Tetapi, kelonggaran boleh dibuat di dalam bahasa pertuturan. Kerana bahasa pertuturan harus diadaptasi mengikut situasi, pendengar dan keadaan sekeliling. Lagipun, ia tidak mempunyai rekod bertulis. Lainlah anda mempunyai ahli transkripsi di sebelah anda untuk mencatatnya.

Penulisan saya, jika dibaca, barangkali lucu, dengan penggunaan ayat yang lucu lucu. Barangkali salah dari segi tatabahasa, kosa kata, dan sebagainya.

Tetapi inilah saya. Dan saya faham apa yang saya mahu katakan. Kerana, setinggi mana gunung yang saya daki, sejauh mana lautan yang saya renangi, bahasa Ibunda saya tetap bahasa Melayu, dan itu membuatkan saya bangga.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home